Enam bulan sudah berlalu sejak kita mula berhadapan dengan krisis pandemik Covid-19. Ini bermakna setengah daripada tahun 2020 kita menjalani hidup yang penuh dengan rasa ketakutan, ketidaktentuan, misteri dan keliru. Tiada seorang pun di dunia hari ini boleh menjangkakan apa yang akan terjadi pada hari-hari yang mendatang. Ternyata manusia masih naif dan miskin pengetahuan untuk melakukan perancangan, jauh daripada gambaran masyarakat modenisasi yang kita banggakan itu.

Ketika tulisan ini di tulis, jumlah korban disebabkan oleh wabak Covid-19 telah mencecah hampir 380 ribu orang. Sehingga kini masih tiada vaksin bagi wabak ini dan menurut Prof Shi Zhengli, ahli virologi, virus yang sudah dikenalpasti hanyalah “just the tip of the iceberg”, masih banyak virus-virus yang belum diketahui dan dicerap oleh manusia hari ini. Ketidaktentuan ini menyebabkan ikhtiar terakhir untuk menyelamatkan nyawa hanyalah dengan melaksanakan langkah-langkah pencegahan daripada dijangkiti.

Kredit foto: ANAK

Manusia mula menjalani kehidupan dengan norma-norma yang baru seperti menjaga jarak, limitasi pergerakan, menjaga kebersihan, bekerja daripada rumah, berkomunikasi di atas talian dan banyak lagi. Dunia yang dulu kelihatan sangat cepat membangun dan luas kini terasa pelahan dan sempit. Wujud juga kepercayaan bahawa dunia sedang pulih daripada pencemaran-pencemaran disebabkan oleh langkah ‘permaksaan’ norma-norma yang baru ini seperti pembentukan kembali lapisan ozon, penurunan kepanasan global dan lain-lain lagi.

Adakah benar dunia semakin baik?

Foto: Penulis bersama tenaga pengajar dan pengurusan Iskul.

Saya menetap di pedalaman kepulauan di Sabah, mengajar anak-anak tiada dokumen. Bagi komuniti pedalaman ketakutan kami terhadap wabak ini tidaklah menjadi sesuatu yang merungsingkan disebabkan komuniti ini tidak terlalu terdedah dengan komunikasi atau berhubungan dengan orang-orang luar. Malah kepulauan ini juga bukanlah merupakan destinasi pelancongan yang sering menerima kunjungan pelancong.

Maka ketika wabak ini mula merebak dan berlaku panik di beberapa tempat, kehidupan kami disini masih stabil. Perlu juga diingatkan bahawa stabil disini bukanlah bermakna kehidupan yang senang lenang, tanpa berlaku krisis pandemik ini, mereka tetap di dalam kategori miskin tegar. Stabil disini bermaksud mereka masih boleh menjalankan aktiviti harian dan ekonomi mereka seperti sedia kala. Kesan pertama yang dirasai oleh saya adalah ketika kerajaan pusat mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, aktiviti pembelajaran ketika itu harus dihentikan menyebabkan dengan berat hati saya perlu mematuhi perintah ini.

Foto: Pelajar-pelajar menunjukkan hasil lukisan mereka

Menjadi warga pendidik di pedalaman atau komuniti terpinggir bukanlah sahaja mempunyai akses yang terhad, juga suasana yang berbeza yang tidak ramai dapat fahami. Sekolah adalah pusat untuk pelajar-pelajar mendapat sebarang informasi, pengetahuan dan ruang yang selesa dan selamat. Menutup sekolah seperti menutup pintu bagi pelajar-pelajar berhubung dengan dunia. Menutup sekolah dengan lama juga menyebabkan kesedaran akan pendidikan di dalam komuniti sukar untuk dipupuk disebabkan sekolah tidak lagi dapat berfungsi dan hidup bersama-sama komuniti.

Kesan kedua yang saya rasai apabila kerajaan menyambung perintah kawalan untuk fasa kedua, pelajar kerap datang ke rumah saya dalam keadaan yang lapar sehingga saya perlu sediakan makanan. Suasana ini adalah suasana yang baru, tidak terjadi pada hari-hari sebelum ini. Maka ketika itu saya mula ke rumah-rumah membuat sedikit kunjungan dan pemerhatian untuk memahami apa yang terjadi. Saya mendapati komuniti dalam keadaan terkejut dan tidak stabil kerana mereka tidak faham apa yang terjadi dan kawalan pergerakan menyebabkan sumber pendapatan utama mereka daripada aktiviti menjual beli hasil laut tidak dapat dijalankan apabila pekan Semporna lumpuh dan tidak dapat berfungsi. Ada diantara mereka mencuba nasib berlayar ke pekan-pekan berhampiran seperti Tawau, Kunak dan Lahad Datu untuk menjual hasil laut namun tetap tiada pembeli dan pemborong yang mahu. Mereka juga tidak layak menerima sebarang bantuan daripada inisiatif-inisiati kerajaan dalam membantu warga menghadapi krisis ini.

Foto: Penulis membuat kunjungan ke rumah-rumah komuniti

Kesan ketiga yang saya dapat rasa adalah peningkatan kos terutamanya kos pengangkutan untuk kami yang tinggal di pedalaman. Disebabkan berlaku limitasi penumpang, waktu dan kekurangan orang yang dibenarkan untuk keluar daripada rumah, pengusaha-pengusaha bot, bas dan kereta sewa menaikkan caj sehingga tiga kali ganda daripada harga biasa. Kesempitan hidup ditambah lagi dengan peningkatan kos menyebabkan komuniti disini hampir lumpuh dan sehingga kini mereka masih terkesan dengan krisis ini. Walaupun perintah kawalan mula dilonggarkan namun pemborong membeli hasil laut dengan harga yang murah dan masih tidak berani untuk mengambil risiko peniagaan memandangkan kuasa membeli masih rendah.

Foto: Iskul mengedarkan bekalan bantuan kepada komuniti di Pulau Omadal

Menyedari keadaan semakin mendesak dan tiada apa-apa sokongan atau bantuan kepada komuniti ini, Iskul dengan kapasiti yang ada cuba untuk memberi bantuan jangka pendek kepada mereka dengan mengagihkan bekalan asas dapur. Bermula daripada April 2020, kami berjaya mendapat kebenaran dan membawa bekalan dapur masuk ke Pulau Omadal. Dalam masa satu bulan kami berjaya mengagihkan bekalan dapur kepada 150 buah rumah yang memerlukan dan bekalan sampingan kepada lebih daripada 200 buah rumah sekitar Pulau Omadal. Kepada pelajar-pelajar kami yang memerlukan, kami memberi bekalan dapur secara mingguan.



Melihat pada kesan-kesan ini saya tidak nampak ada ruang untuk saya percaya bahawa dunia semakin bertambah baik. Dianggarkan hampir 26 juta orang yang kehilangan pekerjaan disebabkan oleh krisis ini. Ada yang percaya bahawa kini kita semua berada di dalam satu sampan yang sama. Saya juga tidak percaya pada itu, benar kita semua sekarang hanyut diatas laut yang berisiko namun tidak semua yang hanyut di dalam sampan, ada yang hanyut diatas Yacht, ada yang hanyut diatas rakit, ada yang hanyut diatas kapal, ada yang hanyut diatas perahu. Sejak bulan Mac sehingga kini, dianggarkan kekayaan billioner di dunia meningkat sebanyak $308 billion. Jelas dunia tidak bertambah baik dan kita bukan diatas sampan yang sama.

Terima kasih.

Jefry Musa, Guru Iskul Sama DiLaut Omadal