(1) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri adalah langkah terbaik untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di antara rakyat Malaysia.

(2) Namun begitu, rakyat terpinggir seperti masyarakat pedalaman, masyarakat pulau, pelarian, gelandangan dan warga tanpa dokumen di Sabah mendapat impak yang sangat besar dari sudut bantuan makanan, kesihatan dan maklumat.

(3) Masyarakat pedalaman dan masyarakat pulau sangatlah jauh dari pusat bantuan atau kota. Masyarakat pelarian di skim penempatan pelarian, gelandangan di pekan-bandar dan warga tanpa dokumen di kampung-kampung seluruh daerah Sabah belum lagi mendapat kejelasan polisi untuk membantu mereka.

(4) Sekatan jalan raya dan sekatan laut menyukarkan lagi usaha masyarakat terpinggir untuk bergerak mendapatkan bantuan dan informasi dari luar. Bantuan dan informasi dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) juga sukar disampaikan.

(5) Keadaan semakin kritikal, ramai yang telah kehabisan simpanan makanan dan kehilangan sumber pendapatan utk membeli makanan selepas masuk hari ke-10 terperangkap di dalam kampung masing-masing. Perdana Menteri juga telah menambah lagi 14 hari PKP ini sehingga 14 April 2020.

(6) Gabungan Guru Alternatif menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk memberikan bantuan bekalan makanan kepada semua penduduk terutamanya di kepulauan tanpa mengira kewarganegaraan (The Star Online, 26 Mac 2020).

(7) Kami sedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu masyarakat terpinggir di negeri Sabah dengan menawarkan khidmat sukarelawan dan menjadikan sekolah sebagai pusat pengagihan bantuan makanan, air bersih/air minuman, bekalan ubat-ubatan serta maklumat terkini mengenai wabak Covid-19 kepada masyarakat terpinggir ini.

(8) Semoga kerajaan negeri sudi memberikan peluang kepada kami untuk membantu meringankan beban kerajaan dan masyarakat terpinggir dalam usaha menangani krisis wabak Covid-19 ini.

(9) Terima kasih.

Kenyataan bersama:

  1. ALC Saga , Likas
  2. Cahaya Learning Center, Sandakan
  3. Harumanis Alternatif School (HAS), Kota Kinabalu
  4. Iskul Sama diLaut Omadal, Semporna
  5. Mabul Kids Education Society Semporna
  6. Sekolah Alternatif Kg Bangau-Bangau, Semporna
  7. Sekolah Alternatif Kg Hidayat, Tawau
  8. Sekolah Alternatif Teluk Layang, Kota Kinabalu
  9. Pacos Trust, Panampang